Pada 15 Ogos 1945, Maharaja Hirohito telah mengumumkan secara rasmi dalam siaran radio bahawa Jepun telah menyerah kalah tanpa syarat kepada Berikat, iaitu sehari selepas Angkatan Tentera Jepun menyerah kalah selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom dengan Bom Atom.

15 Ogos 1945 ini dikenali sebagai V-J Day atau Victory over Japan Day. Pada hari tersebut, Presiden Amerika Harry S. Truman telah melantik Jeneral Douglas MacArthur sebagai Supreme Commander for the Allied Powers (SCAP), untuk menyelia dan melaksanakan penjajahan terhadap Jepun. Jepun dan jajahannya telah diagih-agihkan kepada sekutu dalam Berikat contohnya Soviet memperolehi sebahagian Korea Utara, Sakhalin dan kepulauan Kuril. Republic China (bukan China Komunis hari ini) menguasai Taiwan dan Penghu, United Kingdom pula menguasai Andaman, Nicobar, Hong Kong dan kepulauan Solomon... Amerika sendiri menguasai kepulauan utama Jepun seperti Honshu, Hokkaido, Shikoku, Kyushu, Korea Selatan, Okinawa, Kepulauan Amami, Kepulauan Ogasawara dan wilayah di Micronesia.

Bermulalah penjajahan secara rasmi terhadap Jepun yang sebelum ini tidak pernah dijajah oleh sebarang kuasa asing. Penjajahan ini cuma tamat selepas Perjanjian Damai San Francisco dikuatkuasakan pada 28 April 1952:- selepas ianya ditandatangani pada 8 September 1951.

Antara "hasil" penjajahan ini adalah liberalisasi ekonomi, pendemokrasian politik, reformasi pendidikan, akta-akta perdagangan, akta buruh, dan lain-lain. Far Eastern Commission telah mengarahkan supaya sebahagian besar dari perindustrian Jepun dimansuhkan. Pemansuhan (disarmament) ini juga dilakukan di Jerman dengan tujuan rakyat Jepun dan Jerman (juga dijajah Amerika) tidak boleh bangkit menentang penjajahan ini.

GARIOA atau Government and Relief in Occupied Areas diperkenalkan bertujuan - "a. The objectives of the relief policy of the United States are to prevent such starvation and widespread disease and civil unrest as would

(1) clearly endanger the occupying forces, and

(2) permanently obstruct the ultimate objectives of the occupation.".

Walau bagaimanapun, pada April 1948, Laporan Jawatankuasa Johnston menyarankan supaya ekonomi Jepun dibangunkan semula. Laporan itu juga mencadangkan supaya bajet pemulihan perang dikurangkan dan dasar "economic deconcentration" digantung bagi mengurangkan penggunaan cukai rakyat Amerika bagi memberi makan dan membiayai rakyat Jepun. Pada tahun 1949 dana GARIOA ditukar kepada EROA atau Economic Rehabilitation in Occupied Areas bagi digunakan untuk membiayai import material yang diperlukan untuk pembangunan semula ekonomi Jepun. Pembangunan Semula Ekonomi Jerman juga dilaksanakan dengan kaedah yang hampir serupa.

Selepas penjajahan Berikat terhadap Jepun pada tahun 1952, Amerika telah membantu Jepun dalam perindustrian dalam bentuk pelaburan, pemindahan teknologi, bantuan teknikal dan paling penting adalah Amerika membuka pasarannya dan eropah kepada Jepun terutamanya untuk produk peralatan elektrik dan elektronik.

Perang Korea, yang bermula pada 25 Jun 1950 dan berakhir pada 27 Julai 1953, telah memisahkan bangsa Korea kepada Korea Utara dan Korea Selatan. Amerika sekali lagi membantu ekonomi Korea Selatan bagi mewujudkan perbezaan ketara antara Blok Komunis di Utara dan Blok Kapitalis di Selatan. Andai kiranya bangsa Korea ini teramatlah hebat, rajin dll sehingga perlu kita melaksanakan Dasar Pandang Ke Timur untuk kali kedua, tentulah tidak kita dengar bahawa Korea Utara itu terlalu miskin sampai kebuluran.

Begitu juga dengan Perang Vietnam yang bermula pada Disember 1956 sehingga 30 April 1975. Seandainya Vietnam Selatan berjaya dipertahankan dari serangan Komunis Vietnam Utara, nescaya hari ini Vietnam Selatan juga adalah satu kuasa industri yang setara dengan Jepun, Korea Selatan dan Jerman.

Kereta-kereta Korea dan Jepun dibantu oleh Amerika menerusi pelaburan modal, R&D, membuka pasaran Amerika dan Eropah, pemindahan teknologi dan lain-lain. Begitu juga dengan produk-produk dari Taiwan (yang menguasai 80% pasaran perkakasan komponen Komputer dunia), adalah satu produk PERANG DINGIN bagi membezakan syurga dunia kapitalis dengan neraka dunia komunisme.

Apakah Dasar Pandang Ke Timur kali kedua sesuatu yang wajar?

Bagi saya, TIDAK!

Malaysia sebenarnya sudah melepasi tahap negara maju andaikiranya transformasi ekonomi bermula lebih awal dan berterusan. Negara menghasilkan pendapatan yang amat tinggi bagi sektor-sektor perindustrian yang akhirnya akan meningkatkan Pendapatan Per Kapita Rakyat secara keseluruhan, rata dan adil. Rasionalisasi subsidi, GST dan lain-lain dilakukan bertujuan untuk mencapai status negara maju bagi memenuhi syarat-syarat HDI (Human Developments Index) dan mengamalkan "Post Industrial Economy" - keadaan ekonomi dimana pendapatan utama negara adalah dari dari sektor jualan dan perkhidmatan.

Penstrukturan semula ekonomi dengan menumpukan kepada kepakaran tempatan dalam penghasilan produk utama industri negara sepatutnya sudah lama berlaku bagi mengurangkan kebergantungan kepada Pelaburan Asing semata-mata.

Adakah Bangsa Melayu ini Amat-amat Pemalas sehingga perlu satu dasar pandang ke Timur Kedua?

Tidak! Bangsa Melayu ini tidaklah pemalas malahan kerajinan mereka setara bangsa-bangsa asing seperti Korea dan Jepun. Bangsa Melayu yang dominan di Malaysia adalah bangsa pejuang yang tidak pernah berhenti menitiskan peluh, darah dan airmata sejak negara ini belum menjadi sebuah negara.

Nenek moyang kita yang memvariasikan bangsa melayu sanggup berdayung sampan dari pelbagai ceruk Nusantara untuk membina negara ini dengan keringat, air mata dan darah. Nenek moyang kita menebang ratusan ekar hutan sendirian bagi membina masa depan anak cucu mereka.

Anak-anak melayu yang dimomokkan sebagai bodoh dan pemalas hanya kerana perbandingan kasar dan tidak adil, diperbandingkan dengan keputusan cemerlang anak-anak cina di sekolah menengah harian. Keluarkan dan mansuhkan Sekolah Berasrama Penuh dan MRSM hari ini, nescaya ribuan anak melayu yang cemerlang akan memenuhi sekolah menengah harian ini. Tiada peluang untuk anak-anak cina memperolehi Nombor 1!!!

Percayalah, dan yakinilah bangsa kita sendiri! Andai kiranya ribuan tahun dahulu kita sudah sampai ke Benua Cina ketika bangsa Cina tidak berani belayar keluar dari pesisir pantai mereka, sedangkan bangsa kita sudah mencipta layar, kemudi, dan kapal membelah ombak... Bukan hanya ke China tetapi ke Kalinga yang musnah pada tahun 252 Sebelum Masehi semasa Perang Ashoka. Kerana itulah bangsa kita mengenal orang-orang India sebagai Keling dari Benua Keling.

Bantulah bangsa kita ini dengan sedikit keyakinan dan bakarlah semangat mereka dengan sedikit kepercayaan dari Kerajaan Melayu ini. Kerana melayu ini tidak akan khianat kepercayaan yang diberikan sesungguhnya kepada mereka, bahawa melayu hari ini juga mampu membina empayar, bahawa melayu hari ini juga mampu menambahkan yang secupak menjadi segantang, sekepok dan segudang.!!!

Tanyakan orang Jepun dan Korea, mampukah mereka membina Jambatan Emas dari Melaka ke Gunung Ledang, Mampukah mereka memenuhkan 7 dulang hati nyamuk, 7 dulang hati hama??? Yang mampu cuma mereka yang punya iltizam dan semangat kental, yang belayar membelah 7 lautan.. Hanya Melayu.... Bangkitkan semula semangat melayu itu!

Rancang dan laksanakan Dasar Pemulihan Ekonomi Bumiputera. Memulihkan bukan hanya ekonomi tetapi jati diri dan semangat melayu, bukan sebagai tuan tanah tetapi sebagai pengusaha dan saudagar berjaya.

Dasar Pemulihan Ekonomi Bumiputera mestilah melibatkan syarikat-syarikat bumiputera terutamanya Bumiputera Sabah dan Sarawak diberi konsesi khas untuk projek-projek pembangunan (terutamanya di Borneo), pembukaan tanah-tanah rancangan ala-Felda juga mestilah diutamakan di Borneo supaya ianya menjadi pemangkin kemajuan dan pendidikan disana. Pembukaan tanah-tanah rancangan di Borneo akan menyebabkan pembinaan jalan-jalan raya, sekolah dan kemudahan kesihatan seterusnya membuka lebih banyak peluang pekerjaan. Pembangunan Borneo MESTI dilaksanakan bagi mengurangkan jurang perbezaan kemajuan antara Semenanjung dan Sabah dan Sarawak.

MARA pula mestilah distrukturkan semula sebagai sebuah BANK Pelaburan yang tidak lagi memberi pinjaman mudah kepada Bumiputera tetapi sebagai PELABUR untuk projek-projek berdaya saing tinggi. Usahawan Bumiputera tidak harus diberi pinjaman semata-mata tetapi perlu dikawal menerusi pemilikan ekuiti oleh MARA. Bukannya habiskan billion Ringgit semata-mata nak menjadikan melayu peniaga tepi jalan atau buat kerepek jual kat Hypermarket. Puluhan tahun merepek dengan puluhan billion dihabiskan untuk menjadikan melayu peniaga tepi jalan, peruncit kecil-kecilan. Bangsa kita sudah menjadi peniaga besar sejak purbakala, Melayu sudah mengilang dan mengeksport Arak Nipah berkualiti tinggi ke Jepun dan China seawal kerajaan Melaka ditubuhkan, malahan Al-Idrisi dalam Kitab Rujar dan disebut juga dalam Prasasti Nalanda, menyatakan bahawa bangsa Melayu telah mengeksport besi berkualiti tinggi ke India sekitar abad Ke 6 Masehi.

Dasar ini juga mestilah diterapkan diperingkat sekolah dan universiti dengan menerapkan budaya kerja TEGAS dan TEGAR dengan memastikan kesungguhan pelajar menjayakan satu-satu tugasan. Jepun selepas Perang Dunia Kedua memperkenalkan satu dasar serupa dengan Rancangan Makanan Tambahan kepada semua pelajar bagi memastikan bukan sahaja para pelajar mendapat gizi yang sihat dan mencukupi, tetapi bagi memastikan para pelajar hadir tepat pada waktunya ke sekolah. Skim seumpama ini bukan sahaja mampu mengurangkan bebanan ibubapa tetapi membolehkan para pelajar berada di sekolah dari jam 7 pagi sehingga 5 petang. Ini membolehkan para pelajar bukan sahaja mempunyai jadual waktu pelajaran yang lebih panjang, malahan mampu memperkayakan silibus dengan pelbagai tambahan matapelajaran seperti Pendidikan Sivik, Pendidikan Bahasa (Melayu, Inggeris, Cina, Tamil, Arab dll) termasuklah Pendidikan bersifat Jasmani dan rohani.

Para Mahasiswa mesti diberi galakan untuk mula berniaga diperingkat global bermula dari dalam kampus lagi. Mahasiswa terutamanya dalam bidang Teknologi Maklumat mestilah digalakkan untuk membina perisian bertaraf dunia dan dijual secara online. Bukan semata-mata mencipta permainan (games) Android, tetapi perisian kritikal perniagaan seperti sistem perakauan, sistem sumber manusia dan lain-lain. Bagi Mahasiswa Kesenian Kreatif pula, mereka boleh digalakkan untuk menjual kandungan kreatif atau setidak-tidaknya menerbitkan kandungan tersebut dalam YouTube dan mengaktifkan Youtube Monetization untuk memperolehi pendapatan dari Ads Youtube.

Kita perlukan satu perubahan dalam tindakan - bukan slogan retorik Dasar Pandang Ke Timur - sedangkan pelaburan asing mula beralih ke negara-negara dunia ketiga lain rentetan dari kos buruh dan operasi lebih rendah. Kita perlu sedar bahawa dasar menghapuskan pekerja asing dan dasar gaji minima yang tinggi akan menyebabkan pelabur beralih ke Vietnam, Thailand atau Indonesia. Kita sedang mengalami proses "deindustrialization" akibat transisi dari Ekonomi Berasaskan Perindustrian kepada Model Ekonomi Negara Maju iaitu Post-Industrial Economy.

Sekiranya kita tidak berubah dengan mempersediakan tenaga buruh yang bersifat mencipta produk dan terus mahu kekal menjadi hamba pengeluaran kepada negara maju seperti Jepun, Korea dan lain-lain, nescaya kita tidak akan mampu mencapai status negara maju mengikut syarat-syarat yang diperakui oleh dunia - melainkan kita secara suka-suka mengisytiharkan negara kita sebagai negara maju tanpa mengikut terma dan syarat-syaratnya.

Kita tidak perlukan dasar retorik seperti Dasar Pandang Ke Timur 2 - Kita perlukan PERUBAHAN TUNTAS!


Ikuti kami di Media Sosial: