MEMORANDUM BANTAHAN TERHADAP ICERD

 

“Sepanjang sejarah, manusia berperang untuk mempertahankan hak mereka, malah untuk merampas hak orang lain. Adakah kita, dengan rela, akan menyerahkan hak kita? Kita bukan hendak mengambil hak orang lain. Kita hanya mempertahankan hak kita seperti yang telah dipersetujui dan termaktub dalam Perlembagaan. Kita mempertahankan peruntukan Perlembagaan yang sedia ada. Pelampaukah kita? Rasiskah kita?” (Kesan Pengesahan ICERD, Tun Abdul Hamid Mohammad)

Islam dan umatnya dikacau dan diganggu-gugat lagi. Percubaan kali ini mengambil bentuk ratifikasi sebuah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum atau International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD). Gesaan untuk mengesahankannya merupakan langkah diabolikal yang tentunya memberikan natijah porak-peranda dan detrimental kepada bangsa Melayu-Islam khususnya dan usaha-usaha pemupukan keharmonian kaum di negara ini.

Latar pengalaman sejarah kolonial kepada bangsa Melayu terlalu banyak melahirkan bencana. Kesediaan bangsa Melayu-Islam untuk menerima kedatangan kaum-kaum lain yang dibawa oleh pihak kolonial atas kepentingan mereka sudah cukup bukti untuk tidak menerima pakai Konvensyen tersebut. Liabiliti Inggeris (baca:kolonial, setelah memunggah khazanah kekayaan bumi Melayu) dipikul oleh bangsa Melayu dengan penuh rasa tanggungjawab, belas ihsan dan pengorbanan yang tidak ada taranya dalam sejarah. Namun, kenapa ada pihak yang beriya-iya benar hendakkan Malaysia mengesahkan Konvensyen tersebut. Mengapa di Malaysia, dan tidak di Myanmar, Israel, malah tanah besar China sendiri yang sekian lama mendiskrimasi, menjarah, menzalimi dan mengucar-ngacirkan kesentosaan kaum Rohingya dan Uigur serta bangsa Palestin yang beragama Islam di sana.

Konvensyen ini sama sekali tidak mempunyai justifikasi terhadap Islam, bangsa Melayu dan kaum Bumiputera seluruhnya yang menjadi bangsa teras, definitif dan pemilik asal wilayah bumi ini. Seolah-olah mereka tidak memahami dan melalui sejarah perjuangan kemerdekaan negara ini serta menghayati mengapa peruntukan mengenai Tanah Rizab Malayu, Regimen Askar Melayu, agama Islam sebagai Agama Rasmi Negara, bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, hak keistimewaan orang Melayu dan kaum-kaum Bumiputera Sabah dan Sarawak serta institusi Raja-Raja Melayu, termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam konteks sejarah kolonial, bangsa dan Tanah Melayu adalah mangsa; (penekanan) mangsa penjarahan dan perompakan khazanah bumi, penghakisan jatidiri, pemalitan maruah dan pemalsuan sejarah yang dilakukan sewenang-wenangnya oleh pihak Inggeris. Setelah mereka memunggah masuk kaum-kaum asing khususnya dari China dan India bagi tujuan ‘buruh murah’ dan memerah keringat lalu melakukan penswadayaan ekonomi dan politik demi kepentingan mereka, beban Inggeris dalam bentuk kaum imigran ini ditinggalkan untuk ditangani oleh bangsa Melayu yang tidak ada kena mengena dengan mereka sama ada dari sudut nasib sejarah atau nasab keturunan. Namun demikian, bangsa Melayu telah melakukan sesuatu yang tidak tergamak dibuat oleh bangsa lain di dunia ini – pewarganegaraan secara pukal seramai 2 juta orang kepada kaum imigran dengan memberikan kepada mereka segala keistimewaan dan kelebihan dengan hanya meminta mereka mengiktiraf, memperakui dan menerima beberapa peruntukan yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara yang menyentuh secara langsung tentang bangsa Melayu dan kaum Bumiputera Sabah dan Sarawak, termasuklah Perkara 153, Perkara 89 dan Perkara 8(4)(f). Pengesahan terhadap naskah Konvensyen ini akan menyebabkan Perlembagaan terpaksa dipinda dan dimansuhkan kerana peruntukan-peruntukan ini nyata bercanggah dengan intipati Konvensyen yang buta tentang sejarah pembentukan negara Malaysia.

Memandangkan kesannya yang terlalu besar kepada semangat dan realiti sejarah Tanah Melayu, pola kemasyarakatan, khususnya dalam memelihara kerukunan hubungan antara kaum, halatuju negara, pemilikan ekuiti dalam sektor perekonomian serta sistem kedaulatan bangsa Melayu yang meletakkan  secara sinergi institusi Agama dan Raja Berperlembagaan dengan segala adab ketertiban dan neraca akhlaknya,

Memandangkan intipati Konvensyen berpremis buta sejarah itu tentang pembentukan Malaysia dari Persekutuan Tanah Melayu yang telah melalui beberapa siri penjarahan dan inkursi dari kuasa-kuasa kolonial dan imperialis dengan latar bangsa Melayu terpaksa bergadai nyawa untuk mempertahankannya,

Memandangkan liabiliti Inggeris dalam bentuk kaum pendatang yang ditinggalkan di bumi Melayu ini terpaksa ditangani, dipikul dan dipertanggungjawabkan kepada bangsa Melayu sementara Inggeris merekacipta instrumen pemerintahan yang terang-terangan melupuskan liabilitinya itu kepada bangsa Melayu secara in toto,

Memandangkan bangsa Melayu telah melakukan pengorbanan besar yang disemangati dan berdasarkan titipan ajaran Islam yang mereka anuti dan norma adab dan budaya Melayu yang halus dan berpekerti tinggi sehingga bersedia, berihsan dan berperikemanusiaan untuk menganugerahkan kerakyatan kepada hampir 2 juta orang kaum pendatang dari China dan India dengan hanya meminta mereka untuk menjunjung, mengakru dan menyetiai Kontrak Sosial yang dipersetujui bersama,

Memandangkan pengorbanan besar ini tidak akan tergamak dan rela dilakukan oleh mana-mana bangsa di dunia ini, malah pendiskriminasian sepertimana yang dimaksudkan oleh naskah Konvensyen tersebut masih terus berleluasa, dibuat secara sembrono dan bermerajalela di negara-negara seperti Myanmar, China, Israel dan beberapa negara Eropah lain,

Maka dengan rasa penuh kesedaran dan tanggungjawab, kami membantah sebarang percubaan untuk mengesahkan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum atau International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD) oleh mana-mana pihak di negara ini serta menolak sekeras-kerasnya langkah-langkah untuk memberi justifikasi terhadap Konvensyen tersebut.

Petisyen Bantahan ICERD
Saya dengan SUCI HATImenzahirkan BANTAHAN SAYA TERHADAP ratifikasi ICERD.

Dengan mengisi dan mengemukakan (submit) borang ini, saya mewakilkan penganjur

yang terlibat untuk mewakili saya membantah ICERD!

Untuk memahami Mengapa Kami Memerlukan Nombor Kad Pengenalan - Sila layari https://www.facebook.com/barisan33malaysia/posts/2326482537425036

Assalamualaikum W.B.T dan Salam Sejahtera.

Kedapatan beberapa cadangan supaya kami mengugurkan ruangan "No Kad Pengenalan - Diperlukan untuk pengesahan" dalam Petisyen Bantah ICERD yang dianjurkan oleh Gabungan NGO supaya dapat menarik lebih ramai penandatangan. - Kami menghargai pandangan dan cadangan tersebut dan kami ucapkan terima kasih.

Sukalah kami memaklumkan bahawa, Petisyen yang kami anjurkan akan diaudit, seterusnya dicetak untuk dipersembahkan kepada Raja-Raja Melayu melalui Pejabat Majlis Raja-Raja Melayu sebagai satu dokumen sah yang ditandatangani secara soheh oleh mereka yang wujud, bukan menggunakan akaun-akaun ragu (fake) media sosial seperti facebook.

No Kad Pengenalan Ragu, Nama Tidak Lengkap, Memakai Nama Samaran akan dikeluarkan dari Petisyen.

Untuk makluman juga, kami turut merekodkan alamat IP atau Internet Protocol Address setiap penandatangan sebagai satu verifikasi. Data dari IP ragu turut akan diisihkan bagi memastikan ketulenan Petisyen.

Forbes pada 29 Jun 2018 menerusi satu artikel oleh Alan Wolk menyatakan "Facebook's Got Billions Of Fake Users, Though That May Be The Least Of Their Problems" - boleh  dibaca menerusi :- https://www.forbes.com/sites/alanwolk/2018/06/29/facebooks-got-billions-of-fake-users-though-that-may-be-the-least-of-their-problems/#71779b6c5853

Malaysiakini turut melaporkan dalam artikel bertajuk "BERSIH nafi rekayasa kempen undi tak percaya PM" :- boleh dibaca di :- https://www.malaysiakini.com/news/318433  dan SelangorKini dalam artikel berkaitan juga bertajuk "Lebih 11,000 petisyen sokong kempen undi tidak percaya" https://selangorkini.my/2015/11/lebih-11000-petisyen-sokong-kempen-undi-tidak-percaya/ turut meminta penandatangan memasukkan No Kad Pengenalan sebagai penanda identiti sah.

Dalam Petisyen Kami tersebut juga menyatakan "Saya dengan SUCI HATI menzahirkan BANTAHAN SAYA TERHADAP ratifikasi ICERD. Dengan mengisi dan mengemukakan (submit) borang ini, saya mewakilkan penganjur yang terlibat untuk mewakili saya membantah ICERD!" bermakna kami diberi kebenaran untuk HANYA menggunakan data dalam petisyen ini untuk tujuan berkenaan sahaja - iaitu mewakili INDIVIDU RAKYAT MALAYSIA untuk mengemukakan petisyen ini kepada pihak yang berkenaan.

Semua data yang telah dicetak akan dihapuskan sama sekali dari server kami pada 15 Disember 2018 dan TIADA PENGUMPULAN DATA DILAKUKAN untuk lain-lain tujuan yang tidak berkenaan.

Kami menyedai bahawa maklumat penandatangan adalah dilindungi menerusi Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dan kami bertanggungjawab untuk memenuhi 7 Prinsip Perlindungan Data Peribadi seperti yang termaktub bawah Seksyen 5(1) dalam Akta berkenaan.

Pertama - Prinsip Am di mana seseorang pengguna tidak dibenarkan memproses data peribadi seseorang lain tanpa kebenarannya. Pengertian proses di sini harus dimengertikan sebagai mengendalikan data melalui cara atau kaedah automatis atau pengkomputeran atau apa-apa proses lain
 
Kedua - mesti mematuhi Prinsip Notis dan Pilihan di mana makluman dan tujuan awalan dimaklumkan kepada subjek data berkenaan

Ketiga - ialah Prinsip Penzahiran tujuan data peribadi seseorang subjek itu demi mengenal pasti maksud yang baginya data peribadi itu hendak dizahirkan.

Keempat - Prinsip Keselamatan - apabila memproses data peribadi mana-mana subjek, mengambil langkah supaya data tersebut selamat, tidak diubahsuai, disalahguna atau diberikan kepada pihak-pihak yang tidak berkenaan.

Kelima - Prinsip Penyimpanan: sesuatu data peribadi itu tidak dibenarkan disimpan di dalam sesuatu pemprosesan lebih daripada had masa yang diperlukan

Keenam - Prinsip Integriti Data - setiap data peribadi dipastikan supaya tepat, lengkap, tidak mengelirukan dan terkini menepati maksud sesuatu data itu disimpan dan diproses.

Ketujuh - Prinsip Akses: seseorang hendaklah diberi hak akses kepada data peribadinya yang dipegang oleh seseorang pengguna data dan juga boleh membetulkan datanya itu supaya terkini.

Selain itu, kami juga telah memastikan Borang Petisyen dan Laman Web kami dilindungi menggunakan SSL atau Secure Sockets Layer supaya mematuhi Akta Tandatangan Digital 1997. Penggunaan SSL (HTTPS) ini memastikan semua data yang diisi oleh penandatangan akan dienkrip hujung ke hujung (End-to-end encryption).

Akta ini bertujuan untuk mengawalselia penggunaan tandatangan digital, menjamin keselamatan mengenai isu undang-undang yang berkaitan perdagangan elektronik, mengesahkan penggunaan tandatangan digital melalui sijil perakuan yang dikeluarkan.

Besarlah harapan kami, sekiranya tuan/puan menyedari kepentingan penggunaan No Kad Pengenalan dalam petisyen ini. Dan kami dengan SUCI HATI menyedari tanggungjawab kami dan akan sedaya-upaya mematuhi prinsip-prinsip dalam Seksyen 5(1) Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

Kepada yang belum menandatangan, anda boleh berbuat demikian di https://www.barisan33.my/petisyen  :- Terima Kasih kerana memberikan kepercayaan kepada kami untuk mewakili anda.

Sekian, terima kasih. Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Segala Buruk Dan Baik Datang DariNya
Yang Baik Datang Sebagai Nikmat Ilmu, Yang Buruk Datang Sebagai Hikmah Tauladan
Kepada Allah Kami Berserah – Manusia Punya Asa – Allah Punya Esa

PERTUBUHAN BARISAN 33 MALAYSIA
SIGAP NAN TEGAP WASPADA DAN WIBAWA

Ikuti kami di Media Sosial: